Sejarah hari raya aidilfitri..!!!

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda
mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah
bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya
yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk
nenek mereka.
Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari
raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau
Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.
Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini
bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu
ibadat.
Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa
Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama
sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada
melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah
menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.
 
         Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang
asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih
daripada dosa dan noda.
Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu
sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka
mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat,
bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa:
“Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan
ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu
hari kiamat.”
Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan
solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di
kalangan saudara mara dan sahabat handai.
Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih atau melampau
batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan
pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya
dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.
Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru,
kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri.”
Lalu baginda segera bertanya: “Kenapa wahai saudaraku?” Lelaki itu berkata: "Kerana saya
tidak ada baju baru."

      Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju
baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk
bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari
raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang
ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.
Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk
membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti
mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana
masyarakat kita hidup dalam kemewahan.
Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin
tidak dapat merayakan hari raya seperti kita.
Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam
tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita
mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan
diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan
kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai
jering dan bakhil.
Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam
menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan
kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang
ditetapkan syariat.Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian  yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya
menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri,
kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

kutukan korang

Related Posts with Thumbnails
Copyright@ Blog ini adalah hak milik Humblemodest